Rabu, 18 Februari 2009

Kenapa Pilih Format Ini?


Assalamualaikum,

Saya teringat kata-kata seorang ustaz (namanya saya lupa) ketika menjadi ahli panel sebuah rancangan dalam radio IKIMfm bahawa "menulis buku ilmiah tidak akan laku dan tidak akan menjadi kaya, namun saya gagahi juga....". Sebagai seorang pengendali blog yang baru saya faham bahawa jika laman ini ingin menjadi popular, saya perlu memilih format politik, melakukan ulasan politik dan buat ulasan-ulasan kontroversi. Lebih baik lagi ulasan itu mestilah bersifat menghentam pemimpin tidak kiralah sama ada pemimpin kerajaan ataupun pembangkang. Saya juga boleh membuat blog yang menjadikan dunia hiburan sebagai fokus dan tentu ramai pengikut yang akan memasuki ruang blog ini. Nasib baik ada golongan peniaga tertentu yang akan mengiklankan barangan mereka di dalam blog ini dan saya tentu akan mendapat pendapatan sampingan.

Namun bukan itu yang saya impikan untuk disampaikan melalui ruangan blog ini. Saya tidak peduli jika blog ini tiada pengunjung. Ini tidaklah bermakna saya tidak mengalu-alukan sebarang kunjungan, malah setiap kunjungan akan merupakan suatu yang amat diperlukan oleh saya agar perjuangan yang ingin diterapkan di dalam blog ini tersebar. Tetapi tujuan besar blog ini selain untuk dikunjungi oleh pembaca adalah merupakan suatu peringatan kepada diri saya agar jangan lalai dan leka daripada "standard" yang telah saya sendiri tetapkan iaitu untuk terus menuntut ilmu di mana sahaja sama ada di masjid, surau kolej, universiti, institut latihan dan lain-lain serta menyebarkan ilmu tersebut demi agama saya yang tercinta "ISLAM".

Untuk itu saya akan berusaha di dalam posting selepas ini untuk memasukkan jadual pengajian di masjid yang terdekat dengan tempat tinggal saya. Saya juga akan berusaha untuk menyampaikan maklumat program-program pembelajaran sepanjang hayat yang ada di IPT-IPT yang ada di Malaysia ini terutamanya di universiti tempat saya melanjutkan pelajaran di peringkat Master sekarang iaitu UPM. Jika ada buku-buku menarik yang dirasakan perlu untuk diulas dan disyorkan untuk dibaca oleh pencinta ilmu juga akan dimasukkan dalam posting yang seterusnya.

Sekian, semoga berjumpa lagi. InsyaAllah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan